Kedudukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Negeri Dato' Undang Luak Johol

Kedudukan Dato' Undang Luak Johol diiktiraf menerusi Perkara 71 (2), Perkara 160, Perkara 181 dan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan Malaysia serta Perkara 28 dan Perkara 34 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 sebagai pemerintah (ruler) Luak Johol dan Raja bagi Negeri Sembilan bersama dengan Yang di-Pertuan Besar, Dato' Undang Luak Sungei Ujong, Dato' Undang Luak Jelebu dan Dato' Undang Luak Rembau serta Tengku Besar Tampin.

Akta Tafsiran 1948 & 1967 juga mendefinisikan Dato' Undang Luak Johol sebagai Pihak Berkuasa Negeri, khususnya di jajahan takluk Luak Johol dalam Negeri Sembilan yang meliputi Johol, Gemencheh, Gemas, Pasir Besar, Air Kuning Selatan, Kepis, Dangi, Selaru dan Palong. Dato' Undang Luak Johol adalah juga ketua agama Islam bagi Luak Johol.

Dato' Undang Luak Johol juga adalah anggota Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan bersama Dato' Undang Luak Sungei Ujong, Dato' Undang Luak Jelebu, Dato' Undang Luak Rembau, Tengku Besar Tampin, Tunku Besar Seri Menanti dan Dato' Shahbandar Sungei Ujong, yang mana ia dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Dato' Undang Luak Johol bersama Dato' Undang Luak Sungei Ujong, Dato' Undang Luak Jelebu dan Dato' Undang Luak Rembau mempunyai kuasa prerogatif memilih dan melantik Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan baharu mengikut Perkara 7 dan Perkara 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Pada masa sama, Dato' Undang Luak Johol bersama Dato' Undang Luak Sungei Ujong, Dato' Undang Luak Jelebu dan Dato' Undang Luak Rembau juga mempunyai kuasa prerogatif mengikut Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 untuk menggantung tugas atau melucutkan kedudukan, menarik segala kuasa serta keistimewaan Yang di-Pertuan Besar, sekiranya penyandang didapati melanggar hukum Syarak, didapati bersalah atas kesalahan jenayah, tidak siuman, mengingkari Undang-Undang Tubuh negeri atau dirasakan tidak lagi layak menjadi Yang di-Pertuan Besar.

Peranan utama lain bagi Dato' Undang Luak Johol bersama Dato' Undang Luak Sungei Ujong, Dato' Undang Luak Jelebu, Dato' Undang Luak Rembau serta Tengku Besar Tampin adalah mempunyai kuasa persetujuan berhubung:-

  • pelantikan Menteri Besar,
  • menangguhkan pembubaran Dewan Undangan Negeri,
  • pengurniaan darjah kebesaran negeri,
  • hal ehwal agama Islam dan adat Melayu,
  • kedudukan tanah adat dan rizab Melayu dan,
  • kedudukan istimewa Bumiputera dan kepentingan sah kaum lain,
  • pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.